RMMJ kini hanya boleh dijual selepas 10 tahun

Mohd Jafni
Mohd Jafni
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Johor memperketatkan dasar pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan melarang pemilik menjual rumah berkenaan kepada pihak ketiga dalam tempoh 10 tahun, bermula tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata langkah terbaharu itu bertujuan memastikan RMMJ tidak dimanipulasi selain menjaga hak golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.

Katanya, menerusi dasar lama RMMJ sebelum ini, pemilik unit berkenaan dibenarkan menjual rumah mereka dalam tempoh lima tahun daripada tarikh pembelian.

"Bermula Januari tahun ini, kerajaan Johor memperkenalkan dasar baharu membabitkan penjualan unit RMMJ kepada pihak ketiga.

"Semua pemilik RMMJ berharga di bawah RM150,000, yang dibeli mulai tahun ini tidak dibenarkan dijual kepada pihak ketiga dalam tempoh 10 tahun daripada tarikh pembelian.

"Kita naikkan tempoh jualan RMMJ kepada pihak ketiga kepada 10 tahun berbanding lima tahun sebelum ini bagi memastikan hak golongan B40 dan M40 membeli rumah mampu milik yang disubsidi kerajaan, terjamin dan tidak dimanipulasi lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Selasa.

Berhubung muat naik tular rakyat negeri ini yang tidak berpuas hati mengenai tindakan pemilik RMMJ menjual unit dimiliki mereka, Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, perkara tersebut akan disiasat pihaknya.

Katanya, terdapat banyak salah faham berhubung isu penjualan RMMJ.

"RMMJ sebenarnya boleh dijual kepada pihak ketiga namun kerajaan negeri mengawal ketat penjualannya.

"Oleh sebab itulah dasar pengawalan diperkenalkan iaitu RMMJ tidak boleh dijual dalam tempoh lima tahun daripada tarikh pembelian sebelum ini.

"Namun mulai tahun ini kita ketatkan lagi kepada 10 tahun bagi menghalang hak B40 dan M40 disalah guna," katanya.

Beliau berkata, penjualan RMMJ kepada pihak ketiga juga dikawal Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) sepenuhnya.

Katanya, semua syarat perlu dipatuhi pemilik sebelum permohonan penjualan mana-mana unit RMMJ dibenarkan PKPJ.