Harga barang basah dijangka naik RM3 hingga RM5 pada Ramadan

Raja Zatil Hidayah menyusun sayuran di gerai jualannya di Pasar Besar Jelawat, Bachok.
Raja Zatil Hidayah menyusun sayuran di gerai jualannya di Pasar Besar Jelawat, Bachok.
A
A
A

BACHOK - Harga barangan basah dijangka mengalami kenaikan RM3 hingga RM5 pada Ramadan ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Jelawat, di sini mendapati rata-rata peniaga mengeluh terpaksa berdepan dengan situasi tersebut.

Mereka mendakwa ia berpunca daripada permintaan tinggi selain faktor cuaca yang tidak menentu.

Peniaga sayur, Raja Zatil Hidayah Raja Abdullah, 31, berkata, harga sayuran sukar diramal kerana mereka merupakan 'orang ketiga'.

"Harga turun naik setiap hari, dan menurut kata peniaga lain, pemborong telah memberi makluman awal tentang kenaikan harga pada Ramadan nanti.

"Seperti hari ini (Selasa) timun naik RM2 sekilogram berbanding sebelumnya hanya RM5 dan dijangka Ramadan nanti ia akan mencecah hingga RM8," katanya.

Ujar dia, begitu juga lada merah ada kenaikan RM4, iaitu RM14 sekilogram dan limau nipis meningkat kepada RM3 iaitu sekitar RM9.

Bagi pemborong ikan, Datuk Zulkifli Mohd Yakob berkata, harga ikan mengalami kenaikan RM1 hingga RM2 sekilogram kerana nelayan tempatan kurang turun ke laut pada bulan puasa.

Zulkifli (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan bekalan ikan yang dijual.
Zulkifli (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan bekalan ikan yang dijual.

"Kita bergantung kepada ikan import sekarang dan harga yang ditawarkan ialah selayang (RM10), tongkol (RM10) manala selar sekitar RM15 hingga RM16.

"Ia bergantung kepada stok yang ada, jika bekalan sukar diperoleh kita terpaksa naikkan harga namun bukan sesuka hati tetapi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.

Peniaga ayam, Adam Azman, 26, pula memberitahu, harga ayam stabil iaitu masih kekal dengan RM9.40 sekilogram.

Adam berdepan dengan masalah saiz ayam yang melebihi berat dua kilogram dan ke atas untuk seekor.
Adam berdepan dengan masalah saiz ayam yang melebihi berat dua kilogram dan ke atas untuk seekor.

Ujar dia, ketika ini peniaga berdepan dengan masalah saiz ayam yang melebihi berat dua kilogram dan ke atas untuk seekor.

Tambahnya, situasi itu membuatkan orang ramai berfikir sejenak untuk membeli ayam.

"Namun sebagai peniaga kami cuba pelbagai cara bagi memastikan semua ayam laris terjual" katanya.