Pelarian Rohingya tunggu masa dihantar pulang ke Rakhine

Dianggarkan seramai 850,000 penduduk Rohingya ketika ini berlindung di kem pelarian di Bangladesh, manakala 600,000 lagi kekal di Rakhine.
Dianggarkan seramai 850,000 penduduk Rohingya ketika ini berlindung di kem pelarian di Bangladesh, manakala 600,000 lagi kekal di Rakhine.
A
A
A

YANGON - Myanmar baru-baru ini telah mengatur lawatan untuk duta dan Konsul Jeneral 11 negara termasuk Bangladesh, India, China serta lapan anggota ASEAN ke Rakhine.

Lawatan itu adalah bagi mengesahkan bahawa keadaan keselamatan di Rakhine kini stabil.

Pada 2017, Rakhine menjadi kucar-kacir selepas pergolakan meletus pada akhir Ogos yang menyaksikan serangan oleh militan Rohingya mencetuskan tindakan keras Tatmadaw.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabel tindakan keras tentera Myanmar itu sebagai genosid atau penghapusan etnik kerana wanita dan kanak-kanak Rohingya turut dirogol, disembelih serta dibakar hidup-hidup.

Situasi tersebut mendorong hampir separuh daripada satu juta penduduk Rohingya di Rakhine melarikan diri ke daerah Cox's Bazar di Bangladesh, sekali gus mewujudkan krisis pelarian terbesar di dunia.

Selain Bangladesh, pelarian Rohingya turut melakukan pelayaran berbahaya di laut dengan memasuki negara ketiga terutamanya Indonesia namun niat sebenar mereka adalah untuk menetap secara kekal di Malaysia.

Difahamkan, lawatan khas itu ada kaitan dengan projek perintis penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Rakhine.

Melalui projek perintis itu seramai 1,140 pelarian Rohingya akan dihantar pulang termasuk 711 individu yang sebelum ini mempunyai pendakwaan jenayah, namun kes mereka telah digugurkan.

Sementara baki 429 lagi dalam senarai termasuk beberapa bayi baru lahir masih diproses.

Bagaimanapun, setakat ini tidak jelas bila mereka akan dihantar pulang.

Fasiliti dinaik taraf

Pada hari pertama lawatan, kesemua duta dan Konsul Jeneral dibawa melawat ke kem-kem penempatan Rohingya yang telah dan masih dalam proses pengubahsuaian.

Kem-kem itu didirikan sejak lima tahun lalu di perkampungan Naquiya berhampiran tebing Sungai Naf di sebarang sempadan bandar Teknaf.

Dalam lawatan itu, mereka diberitahu bahawa pelarian Rohingya yang tiba dengan bot akan ditempatkan di kem tersebut selama beberapa hari sebelum dibawa ke Lapukha Maungdaw.

Keamanan di Rakhine terjamin?

Pelarian Rohingya ini akan ditempatkan di Lapukha Maungdaw selama sebulan, sebelum dipindahkan secara kekal ke kem yang dibina berhampiran Maungdaw dan Sittwe.

Gencatan senjata yang dicapai antara pemberontak bersenjata dan tentera Myanmar sehingga penghujung tahun ini memberi petunjuk bahawa situasi di Rakhine akan pulih seperti sediakala.

Rakhine sebelum ini menyaksikan pertempuran rutin antara Tentera Arakan (AA) dan tentera Myanmar, namun gencatan senjata ditandatangani pada 24 November tahun lalu yang dipolopori Yohei Sasakawa dari Yayasan Nippon mengendurkan ketegangan di negeri tersebut.

Malah, ketika ini keselamatan komuniti Muslim juga dikatakan lebih baik berbanding sebelumnya.

Di samping itu, kemudahan untuk mata pencarian, kesihatan dan pendidikan juga telah bertambah baik.

"Bilangan institusi khusus buat masyarakat Muslim telah berkembang. Buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun, seramai 230 pelajar Muslim telah mendaftar ke Universiti Sittwe pada tahun lalu.

"Pada tahun ini sejumlah besar pelajar Muslim turut diterima melanjutkan pengajian di universiti berkenaan," kata seorang pegawai junta Myanmar yang enggan dinamakan.

Skeptikal

Meskipun projek perintis penghantaran pulang telah diumumkan, namun kebanyakan pelarian Rohingya masih skeptikal dan enggan kembali ke Rakhine selagi keselamatan serta hak mereka di Myanmar terjamin.

Sebahagian pula berpendapat projek perintis itu adalah langkah kecil yang perlu diambil bagi membina semula kehidupan mereka di tempat asal sebelum berlakunya penghijrahan besar-besaran pada 2017.

Sebelum ini, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen memaklumkan bahawa kerajaan Myanmar berusaha untuk memudahkan proses penghantaran pulang semua pelarian Rohingya.

Namun, beliau mengkritik pihak berkuasa Myanmar yang masih menuntut dokumen pengenalan diri Rohingya kerana mereka yang melarikan diri ke Bangladesh tiba dalam keadaan sehelai sepinggang.

Beliau berkata dua proses penghantaran pulang sebelum ini gagal kerana pelarian Rohingya tidak yakin dengan pihak berkuasa Myanmar.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa penghantaran pulang secara mengejut itu ada kaitan dengan hujah balas Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung penghapusan etnik Rohingya di Rakhine pada 24 April ini.

"Ini mungkin cara Myanmar untuk meyakinkan ICJ dan masyarakat antarabangsa bahawa Yangon telah mengambil langkah proaktif bagi memperbaiki keadaan.

"Apa pun, Myanmar tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di negeri tersebut," kata penyelidik di Universiti Jawaharlal Nehru (JNU), Amit Thakur.

Tambah Amit lagi, setakat ini tiada peluang kepulangan yang selamat, bermaruah dan mampan dalam tempoh terdekat bagi pelarian Rohingya yang ingin kembali ke Myanmar. - Agensi