Dua suspek pukul pekerja restoran didakwa esok

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - Dua individu akan didakwa di Mahkamah Sepang, pada Selasa kerana disyaki terlibat dalam kes pukul pekerja restoran di Cyberjaya, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kedua-dua individu yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi berusia 51 tahun itu akan didakwa di mahkamah pada jam 8 pagi.

"Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa, Seksyen 509 Akta sama kerana mengeluarkan perkataan lucah kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu juga akan dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat harta milik restoran berkenaan.

"Manakala hanya pemandu pelancong sahaja akan dituduh di bawah Seksyen 324 akta sama kerana menyerang mangsa dengan menggunakan penyepit besi," katanya.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan tindakan seorang lelaki disyaki mabuk yang mengambil makanan dengan menggunakan jari di sebuah restoran di sini pada Khamis bertukar kecoh selepas ditegur pekerja premis berkenaan.

Siasatan awal mendapati lelaki itu datang bersama dua rakannya ke restoran itu untuk makan.Salah seorang suspek disyaki mabuk ditegur kerana mengambil makanan menggunakan jari membuatkannya berang sebelum bertindak agresif dengan memukul pekerja berkenaan hingga cedera di leher, kepala, bahu kiri dan telinga.