16 Senator dilantik Ahli Dewan Negara

RAIS
RAIS
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 16 Senator mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim pada Isnin.

Rais dalam ucapannya berkata, pelantikan itu menjadikan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Negara sekarang berjumlah 64 ahli.

Beliau turut mengharapkan mereka yang dilantik dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin, mengikut lunas perlembagaan.

“Setiap ahli perlu mempunyai sifat ulung iaitu perlu gemar dan kuat membaca, meneliti setiap isu dan rang undang-undang, menyalurkan buah fikiran demi kebaikan Malaysia dan seterusnya bertanggungjawab membina negara bangsa.

“Setiap anggota dewan juga perlu melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia di samping mencurahkan taat setiap tanpa berbelah bahagi.

“Sebagai sebuah dewan tertinggi negara (upper house), Dewan Negara mempunyai peranan yang sama dengan ‘House of Lords’ di United Kingdom,” katanya.

Daripada 16 Senator yang dipilih, lima daripadanya dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Abdul Nasir Idris dan Musoddak Ahmad dari DUN Kedah; R A Lingeshwaran dan Amir Ghazali (DUN Pulau Pinang) dan Hussin Ismail dari DUN Terengganu.

11 orang Senator lagi merupakan lantikan Yang di-Pertuan Agong iaitu Datuk Seri Anifah Aman (Labuan), Isaiah D Jacob (Kuala Lumpur), Manolan Mohamad (lantikan semula), Tan Sri Low Kian Chuan, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Datuk C Sivaraj, Mohd Hasbie Muda, Abun Sui Anyit, Noorita Sual dan Roderick Wong Siew Lead.

Sementara itu, Rais turut mengingatkan Ahli Dewan Negara yang dilantik agar tidak perlu berasa takut, khuatir dan berbelah bahagi dalam menegakkan kebenaran.

“Para senator juga hendaklah meneliti segala kuasa dan segala yang dicatat oleh Dewan Rakyat atau yang dibincangkan dalam Dewan Negara.

“Penting juga untuk bersama-sama kita menghayati dan mengamalkan semula Rukun Negara. Ahli-ahli Dewan Negara hendaklah menggembleng tenaga dan menyemarakkan kembali rukun tersebut.

“Dimohon sebagai pemimpin ulung, apa yang kita lazimkan sebagai pekhidmat awam di dewan ini, kita cari jalan supaya masyarakat kita lebih berbudi bahasa, berbudaya tinggi dan dapat mengulangi kecemerlangan lampau dalam kemerdekaan serta membina negara bangsa,” katanya.