Kenderaan DBKL guna biodiesel daripada minyak terpakai

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadj Che Ngah menuang biodiesel yang terhasil daripada kitar semula minyak terpakai ke kenderaan DBKL.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadj Che Ngah menuang biodiesel yang terhasil daripada kitar semula minyak terpakai ke kenderaan DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan biodiesel yang dihasilkan menggunakan minyak masak terpakai pada kenderaan dan peralatannya.

DBKL memberitahu, langkah itu menunjukkan kesungguhan DBKL untuk melestarikan Kuala Lumpur seterusnya mencapai matlamat bandar rendah karbon menjelang tahun 2030.

Menurutnya, kesemua minyak terpakai yang dikumpul diperoleh menerusi pelaksanaan program 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1 Community 1 Recycle – 1C1R) yang dilaksanakan.

"Program tersebut giat dijalankan di seluruh Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah seliaan DBKL.

"Tanpa inisiatif seumpama ini, minyak masak akan dibuang secara tidak teratur dan mencemarkan alam selain risiko menyebabkan longkang tersumbat," menerusi kenyataan itu menerusi Facebook.

Ujar kenyataan itu, DBKL bekerjasama bersama Uni-Technologies Sdn Bhd bagi penghasilan biodiesel tersebut menerusi kajian yang dijalankan.

"Biodiesel yang terhasil ini merupakan sumber bahan api yang boleh diperbaharui.

"Justeru, warga kota diseru bersama-sama menghidupkan amalan kitar semula demi kesejahteraan kita bersama," katanya.