Banjir Johor: Sekolah akan dibuka secepat mungkin

Lim Hui Ying (tengah) semasa menyampaikan cenderahati kepada pelajar baharu
Lim Hui Ying (tengah) semasa menyampaikan cenderahati kepada pelajar baharu
A
A
A

PETALING JAYA - Sekolah yang terjejas akibat banjir di Johor akan dibuka secepat mungkin, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Ahli Parlimen Tanjong itu berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan tiga sekolah yang masih terjejas itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum beroperasi.

“Kami akan pastikan keselamatan yang diutamakan. Kami akan pastikan sekolah dibersihkan, perabot semua disediakan sebelum mula sesi persekolahan.

“KPM akan pastikan sekolah ini bersedia sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS1 pada Isnin.

Jelasnya, sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Sri Nasib Baik, Batu Pahat; Sekolah Kebangsaan Sri Mendapat dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Sembrong, Parit Raja.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah di atas pembukaan sekolah ke-100 bagi SJKT di Selangor.

Lim Hui Ying semasa sidang akhbar
Lim Hui Ying semasa sidang akhbar

Jelasnya, meskipun baharu di buka, beliau yakin lebih ramai ibu bapa akan mendaftarkan anak mereka di sekolah tersebut.

“Sekolah ini merupakan sebuah sekolah baharu yang mempunyai 24 bilik darjah. Walaupun hari ini hanya 20 orang murid, tetapi kami percaya dalam masa hadapan (akan datang), murid akan bertambah.

“Ini kerana banyak penghuni yang akan menghantar anak-anak mereka ke sini.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada guru besar, guru. Semoga terus berusaha mengharumkan, membangunkan nama SJKT ini,” ujarnya.