Azzmi belum puas hati prestasi PDRM

Azzmi - Foto: Agensi
Azzmi - Foto: Agensi
A
A
A

TIDAK diletakkan sebarang harapan, kelab bola sepak PDRM FC mencuri tumpuan peminat apabila berjaya menamatkan saingan awal Liga Super di tempat keenam, satu pencapaian yang baik buat pasukan biasa-biasa sahaja.

Sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) berehat hampir dua minggu sempena kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) skuad bimbingan Azzmi Aziz meraih kemenangan berharga ke atas Kelantan United 2-0 pada Sabtu.

Kemenangan kedua yang diraih The Cops itu mengembirakan Azzmi selepas pasukan tersebut mengalami ketumpulan jentera penyudah.

Gol dalam babak pertama itu dihasilkan menerusi sentuhan Dzulfahmi Abdul Hadi dan Uche Agba membantu The Cops meraih tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri daripada lima perlawanan.

“Gol awal serta mendahului dua jaringan pada babak pertama menjadikan mereka bermain lebih tenang meskipun terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan,” ujar Azzmi.

Bagaimanapun di sebalik kegembiraan itu, Azzmi masih belum mahu berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan para pemain kerana ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kami akan menggunakan tempoh rehat hampir dua minggu ini untuk memperbaiki pasukan menjelang aksi dengan Kuching City FC,” ujar Azzmi.

Bagaimanapun nada berbeza dengan rakan sejawat di Kelantan United, Thomas Trucha yang marah dan kecewa kerana kesilapan pemainnya memberikan gol kepada PDRM ditambah keadaan padang yang kurang baik serta rasa tidak tenang para pemain di depan gol.

Trucha juga mahu mencari kelemahan dalam pasukannya dan melakukan beberapa perubahan kerana mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama jika ingin mendapatkan keputusan positif selepas ini.

“Saya berang dan kecewa. Kami sudah ada perancangan rapi untuk menghadapi perlawanan.

“Namun sebaliknya kami berikan gol kepada PDRM, kemudian malangnya hujan pula dan ia merencatkan permainan kami," katanya.