Tiga pelajar ditahan buat aksi ala Superman

Antara remaja yang ditahan melakukan aksi berbahaya dan ala Superman di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Ahad. - Foto: PDRM
Antara remaja yang ditahan melakukan aksi berbahaya dan ala Superman di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Ahad. - Foto: PDRM
A
A
A

BENTONG - Tindakan berani tiga penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya ala Superman di kawasan lebuh raya mengundang padah apabila mereka ditahan polis pada Ahad.

Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 16 tahun itu dikatakan melakukan aksi melulu dengan menundukkan badan serta bersaing sesama sendiri, melakukan 'zig zag', melunjurkan kedua-dua belah kaki ke belakang serta ala Superman di Plaza Tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, penahanan itu hasil Operasi Samseng Jalanan yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bentong di plaza tol terbabit kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemerhatian hampir dua jam, beberapa buah motosikal dilihat melakukan aksi terbabit yang bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri tetapi juga pengguna lebuh raya yang lain.

"Tiga lelaki ditahan itu terdiri daripada pelajar sekolah di daerah Bentong manakala sebanyak 25 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan tiga buah motosikal turut dirampas.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 108(e) akta sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalaam pada itu, Zaiham menghargai dan berterima kasih di atas maklumat orang ramai berkaitan aktiviti terbabit.

"Kita juga ingin menasihati agar ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau anak-anak agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tidak bermoral.

"Pihak polis Bentong akan terus melaksanakan operasi sebegini dan setiap maklumat yang telah diperolehi dalam proses tindakan," tambah beliau.