Wan Rosdy tekad bina semula kekuatan UMNO

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertekad untuk membantu membina semula kekuatan UMNO agar parti keramat itu kembali bangkit dan kekal relevan.

Menteri Besar Pahang itu juga yakin, berbekalkan pengalaman mentadbir kerajaan dan parti, beliau bersama barisan kepimpinan parti akan mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Beliau berkata, kejayaan memenangi jawatan ketiga tertinggi parti itu juga merupakan satu tanggungjawab besar untuk membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan seluruh kepimpinan terutamanya dalam keadaan parti yang cukup getir ketika ini.

“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutamanya jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Tanpa bantuan tersebut tidak mungkin saya berupaya mencapai kemenangan yang penuh bermakna ini.

“Kekalahan UMNO pada PRU15 yang lalu menuntut seluruh ahli untuk merapatkan semula saf perjuangan, memperkukuh kembali persaudaraan dan berikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar UMNO mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Wan Rosdy berharap agar seluruh ahli UMNO terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau turut menghargai kepercayaan semua perwakilan terhadap dirinya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua perwakilan yang telah memberi sokongan, kepercayaan serta memberi saya satu daripada tiga kerusi jawatan (Naib Presiden) ini,” tambahnya.