Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota keselamatan dengan dibantu orang awam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota keselamatan dengan dibantu orang awam.
A
A
A

SETIU - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar ke jeti di Kampung Baru Penarik, di sini untuk menguji dan memeriksa bot miliknya pada petang Sabtu.

Mangsa, Mohamad Harun, 63, dikatakan keluar ke lokasi berkenaan sebelum disedari hilang oleh isterinya, Kamriah Ali, 58.

Anak saudara mangsa, Muhammad Aliff Hakimi Wahab, 35, berkata, kehilangan bapa saudaranya itu disedari selepas ibu saudaranya itu meminta pertolongan orang ramai untuk menjejaki suaminya.

Ujarnya, mereka hanya menemukan bot dalam keadaan terbalik di kawasan sungai namun tidak menjumpai mangsa.

"Apa yang saya tahu, dia mahu uji bot itu sama ada terdapat kebocoran atau tidak. Bagaimanapun, bot yang dinaiki kelihatan berpusing-pusing sebelum tiba-tiba senyap.

"Sedar-sedar dia dah tiada dan bot ditemukan dalam keadaan terbalik," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa kini giat dijalankan oleh pasukan penyelamat bersama orang awam.

"Radius pencarian mangsa diteruskan pada jarak 650 meter dari lokasi bot mangsa ditemukan," ujarnya.