JKNK arah 10 premis ditutup di Kota Bharu

JKNK mengarahkan 10 premis di daerah ini ditutup selepas tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.
JKNK mengarahkan 10 premis di daerah ini ditutup selepas tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan 10 premis di daerah ini ditutup selepas tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

Penutupan sementara selama 14 hari itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pada masa sama sebanyak 230 notis kompaun turut dikeluarkan dengan nilaian RM42,650 atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Selain itu, sebanyak 178 notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 32(1)(b), iaitu kegagalan pengendali makanan tidak memakai apron, kasut, penutup kepala dan sebagainya semasa mengendali makanan.

"JKNK turut mengeluarkan 31 notis di bawah Peraturan 33 iaitu berhubungan dengan kebersihan diri pengendali makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Operasi Bersepadu Premis Bersih yang diadakan pada Rabu itu melibatkan 82 premis di sekitar bandar Kota Bharu
Operasi Bersepadu Premis Bersih yang diadakan pada Rabu itu melibatkan 82 premis di sekitar bandar Kota Bharu

Operasi Bersepadu Premis Bersih yang diadakan pada Rabu itu melibatkan 82 premis di sekitar bandar Kota Bharu, Wakaf Che Yeh, Jalan Kuala Krai, Jalan Pengkalan Chepa dan Jalan Pantai Cahaya Bulan.

Menurut beliau, 16 notis kompaun dikeluarkan bagi Peraturan 11 berkaitan kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan, dan empat notis dikeluarkan bagi Peraturan 34 yang berhubung dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan dalam keadaan bersih.

Ujarnya, sebanyak satu notis bawah Peraturan 8 telah dikeluarkan yang mana ia berhubung dengan mempamerkan perakuan pendaftaran, notis dan sebagainya dalam premis makanan.

Dr Zaini memberitahu, selain itu, produk makanan yang mempunyai kesalahan pelabelan turut dirampas dengan nilaian berjumlah RM505.

"Kami ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemunya dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa.

"Mereka yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan juga akan turut diberikan bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis," katanya.