Dengar bisikan punca guru terjun dari tingkat 4 bangunan sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru wanita mendakwa mendengar bisikan selama empat hari berturut-turut sebelum terjun dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bandar ini dalam satu kejadian pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, guru pendidikan pra berusia 28 tahun itu terselamat dan hanya mengalami luka dan bengkak serta lebam pada muka selain calar pada bahagian siku kiri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian itu dan mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan.

Menurutnya, hasil temubual saksi menyatakan ada melihat mangsa sedang berada di bahagian luar penghadang bangunan empat tingkat itu seperti ingin terjun.

“Saksi beritahu terdapat seorang guru perempuan lain cuba memujuknya, namun mangsa dikatakan telah bertindak terjun tanpa paksaan mana-mana pihak.

"Hasil temubual saksi juga mendapati cikgu berkenaan pernah menerima rawatan dan masih dalam pemantauan sebagai pesakit psikiatri di HTAA dan juga Hospital Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) di sini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Mohd Zahari berkata, daripada maklumat diperoleh, wanita terbabit masih belum berkahwin dan kini bertugas sebagai pengajar di kelas pra di sekolah terbabit.

"Hasil temubual dengan wanita itu yang berada dalam keadaan separa sedar, menyatakan dia tidak tahu kejadian yang berlaku dan hanya ada mendengar suara halus dalam tempoh empat hari berturut-turut supaya terjun daripada bangunan sekolah berkenaan.

"Dia juga menyatakan tidak tahu bagaimana boleh berada di Zon Merah HTAA," katanya.

Susulan itu, Wan Mohd Zahari mencadangkan kes dirujuk kepada pihak HTAA memandangkan mangsa merupakan pesakit Psikiatri di hospital berkenaan.