BN-PH runding agih kerusi PRN Selangor Isnin ini

Datuk Megat Zulkarnain Omardin
Datuk Megat Zulkarnain Omardin
A
A
A

GOMBAK - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengadakan mesyuarat bagi rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Isnin ini.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, mesyuarat kali kedua itu akan melibatkan jawatankuasa teknikal diwakili pimpinan tertinggi masing-masing.

Menurutnya, mesyuarat tersebut bagaimanapun tidak dihadiri olehnya dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, sebaliknya diwakili Timbalan Pengerusi BN dan PH Selangor.

"Semua akan duduk dan memperhalusi kerusi-kerusi yang dimenangi semua parti dalam PRU14 lepas, selain berunding agihan kerusi untuk calon BN dan PH.

"Rundingan ini hanya melibatkan parti induk tanpa melibatkan wakil parti komponen. Kaedah agihan kemudian akan diuruskan sendiri oleh parti masing-masing," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan rundingan kerusi membabitkan PH dan BN di bawah Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Megat Zulkarnain berkata, agihan kerusi tersebut dijangka selesai selepas mencapai kata sepakat melalui beberapa mesyuarat yang akan diadakan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pengumuman Amirudin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri yang berakhir Jun depan.

Megat Zulkarnain yang juga Ketua UMNO Gombak berkata, perkara tersebut mencapai persetujuan bersama mengikut semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Saya difahamkan ADUN BN akan menerima peruntukan yang sama. Jadi tidak akan timbul lagi isu anak tiri.

"Mewakili UMNO Selangor, saya fikir ini akan menutup mulut-mulut mereka yang cuba melaga-lagakan PH dan BN, " katanya.