TNB waspada, THT pasang impian besar

Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia, Nishel Kumar (tengah) bersama (dari kiri) Pengendali THT, Seo Jongho, Fitri Saari, Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Nor Saiful Zaini pada sidang media praperlawanan final Piala TNB 2023, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia, Nishel Kumar (tengah) bersama (dari kiri) Pengendali THT, Seo Jongho, Fitri Saari, Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Nor Saiful Zaini pada sidang media praperlawanan final Piala TNB 2023, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
A
A
A

PENGENDALI Tenaga Nasional Berhad (TNB) Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT), terutamanya ancaman pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan Jang Jonghyun, dalam misi menjulang Piala TNB 2023 pada Sabtu.

Nor Saiful optimis TNB mampu menunjukkan 'taring' sebenar dalam 70 minit waktu perlawanan untuk mempertahankan piala itu sekali gus menyekat peluang THT menjulang treble musim ini menerusi kombinasi mantap antara pemain berpengalaman dan muda pasukannya.

"Kami mengakui Jang ialah pemain yang sangat berpengalaman... dia tahu posisi terbaik setiap kali perlawanan.

"Sudah pasti kami mahu hentikan kemaraan THT untuk menang sampai tiga trofi musim ini, namun saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain sebab sudah pasti mereka tidak dapat keluarkan permainan terbaik," katanya kepada pemberita selepas sidang media praperlawanan final Piala TNB 2023, pada Jumaat.

Sementara itu, kapten THT Mohd Fitri Saari mengakui pasukannya memasang impian besar untuk menamatkan penantian 10 tahun dalam usaha merangkul gelaran treble, apabila musim lepas mereka dinafikan hak pada minit-minit akhir.

Mohd Fitri yakin kejayaan pasukannya menjulang Piala Sumbangsih dan muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) pada musim ini mampu meningkatkan semangat dan motivasi tinggi pemain THT serta akan diterjemahkan dalam aksi final pada Sabtu.

"Kita cuba rampas kembali Piala TNB yang terlepas tahun lepas kepada pasukan sama. Oleh itu, kita tidak boleh pandang rendah terhadap kebolehan mereka untuk THT cipta sejarah memenangi treble selepas 10 tahun pasukan THT ditubuhkan.

"Saya selalu pesan kepada rakan sepasukan untuk tidak terlampau risau terhadap kebolehan pihak lawan sebaliknya sentiasa memastikan pasukan sendiri (THT) berada dalam keadaan bersedia untuk menampilkan prestasi cemerlang ketika dalam gelanggang esok (Sabtu)," katanya.

Pada musim lalu, Muhammad Amirul Hamizan Azhar menjadi wira pasukan TNB selepas meledak jaringan padang pada minit ke-60, bagi memastikan TNB menewaskan THT 3-2 pada aksi final Piala TNB.

Dalam pada itu, juara bertahan pasukan hoki wanita KPT-Uniten Thunder sudah bersedia untuk membuat perhitungan bersama skuad Negeri Sembilan pada pentas final untuk merebut Piala Vivian May Soars buat kali keempat berturut-turut.