Program Jualan Ramadan Madani tawar harga lebih murah

Abdul Rashid (kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Pasar Tani Putrajaya.
Abdul Rashid (kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Pasar Tani Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan RM13.5 juta sebagai nilai jualan keseluruhan Program Jualan Ramadan Madani di 103 lokasi di seluruh negara.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, program tersebut diadakan bermula Jumaat sehingga sehari sebelum Ramadan.

"Ini merupakan program tahunan khas FAMA setiap kali menjelang Ramadan bagi memudahkan pengguna mendapat bekalan barangan keperluan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Putrajaya, Presint 2, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Program Jualan Ramadan Madani menawarkan barangan yang dijual pada harga yang murah daripada kawasan sekitar.

"Pengunjung boleh mendapatkan potongan harga murah antara RM5 hingga RM10 bagi Kombo Madani iaitu 'happy hour'," katanya.

Beliau berkata, turut ditawarkan adalah Bakul Madani yang turut dijual pada harga lebih murah.

"Bakul Madani ini mengandungi empat atau lima barangan yang dijual dengan potongan harga ditetapkan oleh penjual," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Rashid berkata, tiada gangguan bekalan barangan di seluruh negara kecuali di beberapa tempat di Johor yang terjejas akibat banjir.

"Bagaimanapun kita telah mengambil langkah drastik dengan mengambil stok bekalan dan dihantar ke kawasan tersebut.

"Saya percaya dengan keadaan cuaca baik yang berterusan, semuanya akan kembali seperti biasa," katanya.

Ditanya mengenai laporan kenaikan harga sayuran beliau berkata, perkara itu berlaku namun harga mulai jatuh mulai minggu ini.

"Sebelum ini ia meningkatkan sekitar lima hingga 10 peratus dan sekarang harga telah pun turun serta stabil," katanya.

Pada Khamis, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, FAMA dan agensi di bawah kementerian telah dikerahkan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan ini.