TNB waspada ancaman THT

Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Nishel Kumar (tengah) bergambar bersama (dari kiri) Ketua Jurulatih THT, Seo Jongho, Fitri Saari, KaptenTNB, Syed Mohamad Syafiq dan Nor Saiful Zaini pada sidang media praperlawanan final Piala TNB 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Nishel Kumar (tengah) bergambar bersama (dari kiri) Ketua Jurulatih THT, Seo Jongho, Fitri Saari, KaptenTNB, Syed Mohamad Syafiq dan Nor Saiful Zaini pada sidang media praperlawanan final Piala TNB 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT), terutamanya ancaman pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan Jang Jonghyun, dalam misi menjulang Piala TNB 2023 pada Sabtu.

Nor Saiful optimis TNB mampu menunjukkan taring sebenar dalam 70 minit waktu perlawanan untuk mempertahankan piala itu, sekali gus menyekat peluang THT menjulang treble musim ini menerusi kombinasi mantap antara pemain berpengalaman dan muda pasukannya.

"Kami mengakui Jang ialah pemain yang sangat berpengalaman...dia tahu posisi terbaik setiap kali perlawanan.

"Sudah pasti kami mahu hentikan kemaraan THT untuk menang sampai tiga trofi musim ini, namun saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain sebab sudah pasti mereka tidak dapat keluarkan permainan terbaik," katanya kepada pemberita selepas sidang media praperlawanan final Piala TNB 2023 pada Jumaat.

Kapten THT, Mohd Fitri Saari mengakui pasukannya memasang impian besar untuk menamatkan penantian 10 tahun dalam usaha merangkul gelaran treble, apabila musim lepas mereka dinafikan hak pada minit-minit akhir.

Mohd Fitri yakin kejayaan pasukannya menjulang Piala Sumbangsih dan muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) pada musim ini mampu meningkatkan semangat dan motivasi tinggi pemain THT serta akan diterjemahkan dalam aksi final esok.

"Kita cuba rampas kembali Piala TNB yang terlepas tahun lepas kepada pasukan sama. Oleh itu, kita tidak boleh pandang rendah terhadap kebolehan mereka untuk THT cipta sejarah memenangi treble selepas 10 tahun pasukan THT ditubuhkan.

"Saya selalu pesan kepada rakan sepasukan untuk tidak terlampau risau terhadap kebolehan pihak lawan sebaliknya sentiasa memastikan pasukan sendiri (THT) berada dalam keadaan bersedia untuk menampilkan prestasi cemerlang ketika dalam gelanggang esok," katanya.

Pada musim lepas, Muhammad Amirul Hamizan Azhar menjadi wira pasukan TNB selepas meledak jaringan padang pada minit ke-60, bagi memastikan TNB menewaskan THT 3-2 pada aksi final Piala TNB.

Dalam pada itu, juara bertahan, pasukan hoki wanita KPT-Uniten Thunder sudah bersedia untuk membuat perhitungan bersama skuad Negeri Sembilan (NSE) pada pentas final untuk merebut Piala Vivian May Soars buat kali keempat berturut-turut. - Bernama