Atlet olahraga 'berguru' di luar negara

Nurhayati. - Foto Agensi
Nurhayati. - Foto Agensi
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) giat memberi pendedahan kepada atlet negara apabila seramai 65 orang akan menyertai 12 kejohanan di dalam dan luar negara menjelang Sukan SEA Kemboja Mei depan.

Pengurus Besar KOM, Nurhayati Karim berkata, mereka akan menyertai pertandingan yang kompetitif di Australia, Filipina, Singapura dan Taiwan dalam tempoh kurang dua bulan ini.

“Ia sebagai persiapan kepada atlet untuk menguji diri bersaing dengan atlet dari luar negara.

“Mereka terdiri daripada atlet olahraga, lompat bergalah serta sukan-sukan lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Beliau berkata, pelari pecut negara di bawah kendalian jurulatih Mohd Poad Kassim ketika ini berada di Australia bagi menyertai dua kejohanan di Queensland.

“Atlet olahraga terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail.

“Mereka akan menyertai acara 100 meter (m) dan 200m pada kejohanan olahraga Terbuka Australia serta Darren Thrupp Shield,” katanya.

Nurhayati memberitahu, atlet lompat bergalah, Nor Sarah Adi dan Muhammad Naufal pula akan menyertai kejohanan di Taiwan minggu depan.

“Dia dibimbing bekas atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu,” katanya.

Sukan SEA Kemboja dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei.