Kesihatan Ustaz Azhar Idrus makin baik

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Keadaan kesihatan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Selasa lalu semakin baik.

Menurut sumber, walaupun dilihat bertambah sihat berbanding sebelum ini, Ustaz Azhar Idrus masih perlu menerima rawatan.

“Setakat ini beliau masih dirawat di sana sehingga kesihatannya benar-benar pulih.



"Oleh itu, tidak dapat dipastikan bila ustaz dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sumber berkata, semua jadual kuliah dan ceramah melibatkan pendakwah popular tersebut juga terpaksa dibatal atau ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.

“Marilah sama-sama kita mendoakan supaya Ustaz Azhar Idrus kembali sihat seperti sedia kala dan dapat meneruskan kerja-kerja dakwah serta menyampaikan ilmu agama seperti biasa,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke HSNZ kerana mengalami masalah kesihatan.

Perkara tersebut dikongsikan Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dalam Facebook rasmi beliau selepas menziarahi pendakwah itu pada Khamis.

Menurutnya, Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke hospital pada Selasa selepas mengadu kurang sihat.