Lelaki didakwa cuba bunuh pegawai polis

Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Melaka pada Jumaat atas pertuduhan cuba membunuh pegawai kanan polis.
Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Melaka pada Jumaat atas pertuduhan cuba membunuh pegawai kanan polis.
A
A
A

MELAKA - Seorang pekerja di sebuah syarikat kereta sewa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas tuduhan cuba membunuh pegawai kanan polis menggunakan kenderaan pada awal bulan lalu.

Mohamad Nazrul Jalal, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melanggar Inspektor Mohamed Yazid Kassim yang sedang menjalankan tugas dengan menggunakan sebuah kereta jenis Honda sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 malam di Jalan Bendahara di sini pada 4 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan

Difahamkan, dia melanggar pegawai kanan polis itu selepas cuba melarikan diri dalam serbuan yang dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

Ketika itu, Mohamad Nazrul enggan memberikan kerjasama kepada polis hingga berlaku pergelutan.

Dia kemudian telah menghidupkan enjin motokar serta bertindak agresif dengan melanggar pasukan serbuan.

Hakim tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh kerana dia juga berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 9 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Ashraf Mohd Diah.