Rais mahu buat perubahan di UMNO Tangga Batu

Rais
Rais
A
A
A

MELAKA - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin yang menawarkan diri sebagai Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu mahu membuat perubahan besar dalam keluarga UMNO bahagian itu.

Menurutnya, perubahan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan parti keramat itu terus menarik minat rakyat untuk bersama UMNO sekali gus memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau dalam pada itu menolak dakwaan 'gelojoh' bertanding jawatan itu kerana baginya oa bukanlah kepentingan diri namun kepentingan parti untuk mengembalikan kepercayaan rakyat pada parti tersebut.

“Kalau tidak kesuntukan masa, memang saya boleh tunggu tetapi takut bila tiba masanya PRU nanti, baharu peranan itu seolah-olah diserahkan kepada saya.

"Saya menawarkan diri dengan membawa bersama pengalaman yang ada sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)," katanya kepada pemberita di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, pada Jumaat.

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu menyatakan tiga teras utama bagi membawa perubahan positif demi memperkasakan UMNO bahagian tersebut.

Rais berhasrat mewujudkan markas atau bilik pengoperasian khas kepada ahli jawatankuasa dan sayap-sayap UMNO Bahagian Tangga Batu bagi memudahkan urusan penyelarasan gerak kerja dan penyusunan jentera.

Beliau berkata, akan memastikan wujudnya ketelusan yang optimum dalam pengurusan dana kewangan UMNO Bahagian Tangga Batu kerana ia penting bagi menguatkan lagi nilai integriti dalam kalangan ahli parti.

"Matlamat saya jelas untuk memastikan semua penganjuran program parti yang menarik dan mesra rakyat di UMNO Tangga Batu.

"Perubahan mesti dilakukan dengan melaksanakan program inklusif melibatkan rakyat, bukan hanya eksklusif untuk ahli parti sahaja," katanya lagi.

Beliau yang turut menawarkan diri bagi jawatan MKT UMNO pada pemilihan Sabtu ini akan berdepan saingan dua penjuru menentang penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.