Lebih 3,000 pelajar terima produk kebersihan diri

Sumbangan kepada 19 Sekolah Angkat Lotus’s Malaysia menerusi kempen Sis Boleh Sis

A
A
A

Azliza (dua dari kiri) dan Siew Ching (tengah) menyerahkan sumbangan produk penjagaan kebersihan kepada para pelajar.
Azliza (dua dari kiri) dan Siew Ching (tengah) menyerahkan sumbangan produk penjagaan kebersihan kepada para pelajar.



KUALA LUMPUR - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) dan jenama penjagaan wanita terkemuka tanah air, Kotex menyerahkan produk kebersihan diri hasil sumbangan orang ramai kepada lebih 3,000 pelajar perempuan dari 19 Sekolah Angkat Lotus’s Malaysia menerusi kempen Sis Boleh Sis.

Antara barangan penjagaan yang disumbangkan terdiri daripada tuala wanita, deodoran, pantyliner, pencuci kebersihan dan barangan penjagaan diri yang lain.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat, Azliza Azmel berkata, kempen yang dilancarkan oleh Lotus’s Malaysia itu sebagai tanda pengiktirafan kepada golongan remaja perempuan.

“Pihak kami mahu mengiktiraf segala pencapaian dan sumbangan yang mereka telah lakukan di samping untuk meningkatkan kesedaran tentang ekuiti haid dan kebersihan dalam kalangan remaja sekolah.

“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihak kami dan Kotex telah menjadi tuan rumah kepada 50 pelajar dan guru untuk majlis penyerahan bantuan kepada lima sekolah angkat Lotus’s di Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di Lotus’s Kepong, pada Rabu.

Majlis penyerahan turut diserikan dengan taklimat tentang penjagaan diri ketika haid.
Majlis penyerahan turut diserikan dengan taklimat tentang penjagaan diri ketika haid.

Jelas Azliza, bantuan diberikan kepada sekolah angkat berkenaan kerana kebanyakan institusi pendidikan itu terletak di kawasan luar bandar.

Sumber dan kesedaran terhad

Tambahnya, pelajar-pelajar di kawasan berkenaan mempunyai sumber dan kesedaran yang terhad terhadap produk kebersihan diri.

“Bukan itu sahaja, mereka juga mungkin tidak tahu cara untuk menguruskan perubahan yang mereka hadapi secara fizikal dan emosi apabila melalui fasa kematangan.

"Dengan sokongan yang diperoleh daripada pelanggan dan Kotex, kami berharap dapat menjalankan lebih banyak lagi inisiatif untuk membantu pelajar-pelajar tersebut," katanya.

Azliza ketika berucap pada majlis penyerahan derma produk kebersihan diri di Lotus’s Kepong, pada Rabu.
Azliza ketika berucap pada majlis penyerahan derma produk kebersihan diri di Lotus’s Kepong, pada Rabu.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kotex Malaysia, Ngui Siew Ching berkata, kempen Sis Boleh Sis selaras dengan misi Kotex untuk memastikan haid tidak menjadi penghalang seseorang wanita itu maju ke hadapan.

“Menjadi sebahagian daripada kempen ini telah memberikan kami ruang untuk mempertingkatkan program pendidikan kebersihan haid di sekolah yang telah kami jalankan selama lebih daripada dua dekad.

“Hal ini amatlah penting kerana menurut Kajian Kemiskinan Haid dan Stigma yang telah kami jalankan, mendapati seorang daripada dua kanak-kanak perempuan memutuskan untuk tidak hadir ke sekolah,” jelasnya.

Tambah Siew Ching, lebih 68 peratus daripada kanak-kanak perempuan yang mengalami haid, tidak berasa selesa membincangkan soal haid mereka secara terbuka.

Justeru, kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan untuk menentang stigma dan pantang larang masih berleluasa dalam komuniti.

Para pelajar dan guru dari sekolah angkat bersama-sama Lotus’s Malaysia dan kumpulan Kotex Malaysia.
Para pelajar dan guru dari sekolah angkat bersama-sama Lotus’s Malaysia dan kumpulan Kotex Malaysia.

“Kami berjanji untuk meneruskan perjuangan menentang persepsi berkenaan dan kemiskinan haid melalui pendidikan dan menyokong komuniti yang kurang bernasib baik.

“Bagi membasmi kemiskinan haid, Kotex Malaysia turut menyumbang hampir 4,000 pek atau lebih dari 30,000 keping pad kepada kempen Sis Boleh Sis sebagai tanda sokongan kepada kanak-kanak perempuan dari 19 sekolah angkat Lotus’s di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Lotus’s Malaysia telah menderma lebih daripada 100 barangan rangkaian jenama tersendiri iaitu Aliv sebagai kit permulaan kepada tong amal sebagai tambahan kepada sumbangan daripada pelanggan Lotus’s.

Lebih menarik, di majlis itu Kotex turut menyampaikan taklimat eksklusif tentang perubahan fisiologi, kitaran haid, cara yang betul untuk menguruskan haid dengan bersih, mitos haid dan penerimaan positif terhadap diri sendiri.

Kutipan derma produk kebersihan wanita dan penjagaan melalui kempen Sis Boleh Sis telah berlangsung selama dua minggu dan ia melibatkan sembilan cawangan antaranya, Lotus's Kepong, Cheras, Pulai Hartamas, Alor Setar, Kota Bharu, Seremban Jaya, Melaka Sentral, Desa Tebrau, dan Tanjung Pinang.