RUU Warga Emas 'benteng' ibu bapa terabai

Laporan Sinar harian pada Rabu.
Laporan Sinar harian pada Rabu.
A
A
A

KITA sedia maklum kanak-kanak terlindung di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali sekiranya diabaikan oleh ibu bapa mereka.

Namun tidak pula kita mendengar hukuman tertentu kepada anak-anak kandung yang mengabaikan ibu bapa tua hingga menyebabkan warga emas itu ‘terseksa’ menghabiskan saki-baki umurnya.

Mendengar jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Athirah Aiman Sabu mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang bakal dibahaskan di Dewan Rakyat, setidaknya memberi kelegaan kerana akan ada perlindungan kepada warga emas yang diabaikan.

Semestinya kita bersetuju dengan cadangan supaya diwujudkan undang-undang dan diharap boleh mengenakan hukuman lebih tegas ke atas anak yang sengaja mengabaikan atau mendera ibu bapa mereka.

Selaras dengan keadaan Malaysia yang bakal menghadapi status negara tua pada tahun 2030, undang-undang tersebut menjadi penyelamat kepada warga emas yang diabaikan.

Seharusnya kewajipan anak menjaga ibu bapa sehingga akhir hayat mereka tidak boleh dikompromi, malah tiada mana-mana individu yang tidak faham tanggungjawab berkenaan.

Malah berdosa besar bagi mereka yang derhaka terhadap ibu bapa apatah lagi mengabaikan mereka.

Sebagaimana anjuran al-Quran supaya anak-anak tidak sesekali mengangkat suara, menengking ibu bapa dan menuntut mereka berbicara dengan perkataan lemah lembut.

Justeru diharap RUU berkenaan mampu membela nasib warga emas yang diabaikan oleh anak-anak, sekali gus menjadi benteng terakhir buat mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.