MCW: Lantikan ahli politik dalam GLC wajar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lantikan ahli politik sebagai pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah wajar sekiranya individu berkenaan mempunyai kepakaran dan kelayakan profesional berkaitan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan, ahli politik yang dilantik mempunyai akses dan sumber penting bagi menjadikan GLC berjaya selain memastikan setiap keputusan diambil selaras dengan objektif nasional.

"Namun mereka mestilah diberi latihan pengukuhan integriti dalam memastikan masalah salah guna kuasa dapat dikekang.

"Kuasa yang diberikan kepada mereka juga perlu dipantau dengan teliti dan pelbagai SOP (prosedur operasi standard) perlu diperkenalkan dan diperketatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

MCW turut berpandangan, mereka yang dilantik perlu diberi taklimat khusus berkenaan had kuasa sebagai rujukan dan garis panduan pentadbiran.

"Nilai integriti diri mereka juga perlu diuji dan diperkasakan," menurut kenyataan itu.