KWSP: Kadar faedah rendah atau setara

Individu yang mencagarkan Akaun 2 KWSP bagi membuat pinjaman di bank dijangka berpeluang menerima kadar faedah yang rendah atau setara dengan pembiayaan. - Gambar hiasan
Individu yang mencagarkan Akaun 2 KWSP bagi membuat pinjaman di bank dijangka berpeluang menerima kadar faedah yang rendah atau setara dengan pembiayaan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bank Rakyat menjangkakan kadar keuntungan bagi cagaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah lebih rendah atau setara dengan pembiayaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, langkah seterusnya akan diambil selepas Bank menerima maklumat terperinci daripada kerajaan yang mana dilihat akan diterima dalam masa terdekat.

“Kita belum mengenal pasti prospek produk berkenaan. Apabila kita sudah mendapat informasi daripada kerajaan tentang bagaimana mereka hendak menguruskannya, barulah kita boleh mulakan usaha untuk buat produk tersebut.

“Kadar faedahnya sama ada rendah atau setara dengan pembiayaan itu bergantung kepada maklumat yang dikemas kini daripada pihak kerajaan,” katanya semasa Majlis Perasmian Minggu Teknologi Bank Rakyat 2023 di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shahril turut memaklumkan bahawa Bank Rakyat memperkenalkan inisiatif digital baharu seperti QR Pay dan E- Lelong Ar-Rahnu.

“Menerusi QR Pay, pelanggan kini boleh membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah dan pantas dengan hanya mengimbas kod QR menerusi perbankan mudah alih iRakyat yang dapat digunakan oleh mana-mana individu atau perniagaan.

“E-Lelong Ar- Rahnu pula merupakan platform lelongan secara atas talian bagi membolehkan pelanggan membuat bidaan barangan kemas dan barangan emas Pajak Gadai-I di mana-mana sahaja.

“Ini merupakan antara quick-wins yang telah dihasilkan berdasarkan pelan jangka Panjang Bank Rakyat Digital Blueprint yang lebih bersifat menyeluruh yang akan direalisasikan sehingga tahun 2025,” tambahnya.

Beliau turut mengumumkan kerjasama dengan Bank Rakyat dan rakan strategik, AirAsia Rewards bagi memperkenalkan platform penukaran mata ganjaran Kad Kredit-i Bank Rakyat.

Jelasnya, menerusi kerjasama itu, pemegang kad tersebut boleh menebus Airasia points kepada pelbagai kemudahan seperti penerbangan, penginapan atau penghantaran seperti Airasia ride dan Airasia food.

“Ia bakal memberikan pengalaman baharu kepada semua pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat. Penukaran mata itu dapat dilakukan secara atas talian dan juga menggalakkan pembayaran tanpa tunai,” kata Ahmad Shahril.