Lapan muka baharu, Safawi ‘tersisih’

Safawi Rasid ‘tercicir’ daripada senarai 27 pemain untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 18 Mac ini.
Safawi Rasid ‘tercicir’ daripada senarai 27 pemain untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 18 Mac ini.
A
A
A

SERAMAI lapan muka baharu termasuk dua pemain naturalisasi baharu dari Brazil iaitu kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue dan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick dos Santos bakal mewarnai skuad Harimau Malaya kali ini.

Dua pemain itu terdiri daripada 27 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 18 Mac ini.

Senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa merupakan persediaan mengharungi perlawanan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac disusuli menentang Hong Kong pada 28 Mac di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Bagaimanapun, kapten Harimau Malaya yang kini beraksi bersama kelab Ratchaburi FC di Thailand, Safawi Rasid ‘tercicir’ daripada senarai.

Dua lagi pemain yang membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan ialah penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel dan Damien Lim (Sabah FC).

Turut berpeluang membuktikan kemampuan ialah Fayadh Zulkifli Amin (Kedah Darul Aman FC), pemain JDT yang dipinjamkan ke Sabah FC, Daniel Ting dan pemain muda Harimau Selatan, Feroz Baharudin.

Pemain kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine yang bermain bersama SJK Seinajoki dalam saingan divisyen satu Liga Finland turut dipanggil.

Ketua jurulatih dari Korea Selatan itu turut mengekalkan sembilan daripada 23 pemain yang menggalas cabaran Harimau Malaya pada Piala AFF 2022 akhir tahun lalu.

Mereka ialah empat pemain Selangor FC iaitu Faisal Halim, Khuzaimi Piee, Quentin Cheng dan Brendan Gan selain tiga pemain Sabah FC, Darren Lok, Dominic Tan dan Stuart Wilkin.

Turut tersenarai ialah penjaga gol baharu JDT, Syihan Hazmi serta bekas pemain Petaling Jaya City yang kini bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz.

Pan-gon turut memanggil semula pemain yang membantu Harimau Malaya melakar sejarah mara ke pentas Asia selepas 43 tahun.

Mereka ialah lapan pemain JDT termasuk trio benteng pertahanan, Shahrul Saad, Corbin-Ong dan Matthew Davies selain dua pemain sayap Akhyar Rashid dan Arif Aiman Hanapi.

Bagai sireh pulang ke gagang, Syamer Kutty Abba yang pulih daripada kecederaan turut berada dalam senarai selain Syahmi Safari dan penyerang Syafiq Ahmad.

Turut berada dalam senarai ialah Dion Cools yang kini mewakili Buriram United di Thailand serta pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih.