'Tak potong peruntukan selepas ambil alih kerajaan' - Rafizi

Rafizi - Foto Bernama
Rafizi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan kerajaan tidak memotong peruntukan terhadap sebarang projek pembinaan yang telah diluluskan sebelum ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan bertindak sebagai agensi pelaksana bagi projek-projek berkenaan mengikut tata kelola ditetapkan.

“Setakat ini saya boleh sebut dalam dewan, tidak ada satu projek pun yang kami potong setelah ambil alih (kerajaan), termasuklah semua ini.

“Cuma perlaksanaannya di peringkat Kementerian Ekonomi, kita meluluskan peruntukan itu berdasarkan kepada kriteria-kriteria, kemudian ia diserahkan kepada agensi pelaksana.

“Jadi agensi pelaksana dalam perkara ini adalah NCIA dan dari segi perolehan, pengambilan tanah dan pembinaan akan diuruskan oleh NCIA,” katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta projek pembangunan Masjid Pendang dengan peruntukan RM5 juta dilaksanakan segera.