PN Negeri Sembilan yakin sokongan masih utuh

Rafiei
Rafiei
A
A
A

SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yakin sokongan rakyat di negeri ini terhadap gabungan itu masih utuh walaupun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan pertuduhan di mahkamah.

Malah Timbalan Pengerusi PN, Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha menjelaskan, fenomenanya ketika ini sokongan anak muda terhadap PN terus bertambah apabila masing-masing mula menyertai parti dalam gabungan tersebut.

"Rakyat dapat membaca dakwaan yang bermotifkan politik mahu melemahkan PN menjelang pilihan raya negeri (PRN) dan bertujuan membentuk persepsi bahawa pemimpin PN juga terlibat dengan dakwaan salahguna kuasa.

"...Dengan harapan akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PN tetapi berlaku sebaliknya apabila ia menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap kita," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Muhyiddin kemudiannya mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai usaha menarik lebih ramai sokongan anak muda terhadap PN, Rafiei yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, golongan itu tahu menilainya sendiri.

"Anak muda adalah golongan celik maklumat dan mampu menilai secara objektif isu-isu yang dibangkitkan termasuklah rekod kejayaan kerajaan PN di bawah Muhyiddin dalam memperjuangkan secara adil nasib rakyat di negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas tentang persediaan PRN, beliau berkata, perkara itu sudah bermula sejak awal tahun, perbincangan pembahagian kerusi dalam kalangan rakan dalam PN juga berjalan dengan begitu positif.

"Keputusannya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Perunding kerusi peringkat PN pusat sebelum diumumkan," ujarnya.