Bapa cedera anak baling remote

Seorang lelaki, 41, ditahan kerana disyaki membaling alat kawalan televisyen ke arah bapanya sehingga cedera. -Foto 123rf (Gambar kecil: Mohamad Farouk)
Seorang lelaki, 41, ditahan kerana disyaki membaling alat kawalan televisyen ke arah bapanya sehingga cedera. -Foto 123rf (Gambar kecil: Mohamad Farouk)
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki membaling alat kawalan televisyen ke arah bapanya sehingga cedera kerana tidak dibenarkan menonton televisyen.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku berikutan selisih faham antara mangsa berusia 74 tahun dengan anak lelakinya, 41, di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, di sini, pada jam jam 7.30 pagi, Isnin.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak membenarkan pengadu menonton televisyen kerana tidak suka tindakan bapanya yang suka menguatkan suara televisyen.

"Suspek kemudian membaling alat kawalan jauh televisyen ke arah kepala mangsa sehingga dia mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, pengadu kemudian mendapat rawatan di Hospital Ampang berikutan kecederaan dialaminya susulan kejadian itu.

"Berdasarkan laporan diterima, kita telah menahan suspek yang tidak bekerja di lokasi kejadian jam 2.20 petang, hari yang sama," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas satu alat kawalan jauh televisyen yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.

"Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian awal saringan air kencing dilakukan didapati negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.