Prosiding bela diri Syed Saddiq selesai

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas memanggil empat saksi, pihak pembelaan dalam prosiding bela diri kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Mahkamah Tinggi di sini, menutup kes pembelaan pada Selasa.

Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika prosiding di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, selepas mahkamah selesai mendengar keterangan saksi pembelaan (SD), bekas setiausaha peribadi, Siti Nurul Hidayah.

Azhar kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis sebelum 3 April manakala prosiding pendengaran hujahan lisan di akhir kes pembelaan pada 10 dan 11 April depan.

Selain Siti Nurul Hidayah, tiga saksi lain ialah Syed Saddiq sendiri selaku SD pertama; SD2, bekas Pegawai Khas Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz dan SD3, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd 'Afif Ali sementara peguam, Gobind dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Pada 27 September tahun lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun tahun sama.

Saksi yang dipanggil adalah termasuk ibu dan bapa Syed Saddiq, iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali.

Pada 28 Oktober tahun lepas, Syed Saddiq, 31, diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberi keterangan membela diri selama dua hari bermula 22 Februari lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Semasa menyambung keterangan, Siti Nurul Hidayah berkata, laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan dikasari dan diugut oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil memberi keterangan terhadap Syed Saddiq pada tahun 2020 lalu, adalah benar.

“Pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan turut memperkenalkan dirinya pada saya, selaku pegawai penyiasat dalam kes sisatan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang dipanggil semula untuk memberi keterangan turut membuat pengecaman terhadap Ihsan atau nama sebenarnya Mohd Ihsan Sapuan.

Dalam prosiding sebelum ini, Syed Saddiq dirujuk dengan transkrip rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq dengan Ihsan.

Dalam transkrip itu, Syed Saddiq mendakwa Ihsan cuba memujuknya supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana bekas Perdana Menteri itu dikatakan membawanya memasuki Bersatu.

Syed Saddiq juga berkata, Ihsan memberitahunya bahawa SPRM menjadi ‘alat' apabila berlaku pertukaran kerajaan.