Dakwaan Hamzah simpan fail pemimpin satu perkara serius

Ramkarpal (kiri), Hamzah
Ramkarpal (kiri), Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa beliau menyimpan banyak fail mengenai pemimpin lain semasa menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini merupakan satu perkara yang serius dan perlu diambil perhatian sewajarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, siasatan terhadap perkara itu hanya boleh dibuat sekiranya terdapat laporan polis untuk membuka kertas siasatan.

"Memandangkan kenyataan itu saya percaya baru dibuat semalam dan dalam tempoh singkat tersebut saya rasa untuk memulakan siasatan sudah tentunya satu laporan polis boleh dibuat atau mana-mana pegawai SPRM boleh buat (laporan).

"Saya percaya itu amalan biasa yang boleh dilakukan,” katanya katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi jabatan itu, di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pencelahan Gobind Singh Deo (DAP-Damansara) yang ingin tahu adakah terdapat siasatan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Larut itu yang didakwanya merupakan salah guna kuasa.

Semalam, Hamzah dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, mendakwa beliau mempunyai banyak fail pemimpin lain dan boleh menggunakannya untuk menentang mereka.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 33 kertas siasatan terhadap penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan sepanjang 2021 dan 2022 sebanyak 10 kes telah dituduh di mahkamah di seluruh negara.

"Siasatan kes ini masih diteruskan dengan beberapa kertas siasatan dalam tindakan arahan lanjut Timbalan Pendakwa Raya di samping beberapa tindakan turut diambil termasuk pelucutan dan pemeriksaan terhadap kelemahan sistem dan prosedur berkenaan dana MITRA,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan untuk menaiktarafkan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah jabatan itu sebagai sebuah kementerian perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan.

Ini termasuk mengambil kira dasar kerajaan hari ini yang tidak ingin melihat terlalu banyak kementerian diwujudkan selain melihat kepada kewujudan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 yang fungsinya adalah untuk mengurus dan mengawal selia perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Di bawah MA63 ini, pelbagai isu dibangkitkan sebenarnya menyeluruh, banyak kementerian menjadi ‘care taker’, contohnya berhubung kegiatan pertanian laut dalam di bawah Kementerian Pertanian dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menguruskan kawal selia elektrik dan tenaga.

"Jadi perlu juga ambil kira perkara ini kerana akhirnya Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak ini menyelaraskan keputusan yang melibatkan menteri berkenaan yang mempunyai fungsi masing-masing,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa itu.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM5.7 bilion melalui undi suara majoriti.

Belanjawan itu merupakan sejumlah RM5,776,409,900 peruntukan anggaran perbelanjaan mengurus di bawah JPM, antaranya, melibatkan Parlimen Malaysia (RM166,731,200), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM65,543,300) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (RM42,380,200).

Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian diluluskan di peringkat dasar pada 9 Mac setelah dibahaskan selama enam hari bermula 27 Feb lepas dan sesi penggulungan oleh setiap kementerian.

Belanjawan 2023, yang dibentangkan Anwar, pada 24 Februari lepas, memperuntuk sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion untuk belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. - Bernama