Hamidin sedia pikul tanggungjawab di Olimpik Paris 2024

Hamidin - Foto Bernama
Hamidin - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sedia memikul tanggungjawab selepas dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Hamidin, kepercayaan yang diberikan kepadanya akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha membantu kontinjen negara membawa pulang pingat emas sulung dalam temasya tersebut.

"Pertama saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli dan warga Kementerian Belia dan Sukan.

"Juga kepada Presiden OCM (Majlis Olimpik Malaysia), Tan Sri Norza dan seluruh eksekutif Ahli Jawatankuasa OCM yang memberi kepercayaan kepada saya, telah memilih saya sebagai Ketua Kontinjen Olimpik bagi Malaysia pada tahun hadapan di Paris.

"Kepercayaan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang harus saya pikul bersama-sama dengan yang lain, supaya kita dapat meraih kejayaan bukan hanya mendapat pingat emas sulung untuk Malaysia buat kali pertama di Olimpik tetapi juga meraih seberapa banyak pingat yang boleh pada Sukan Olimpik 2024.

"Insya-ALLAH dengan doa semua pihak dan kerjasama daripada semua pihak, kita akan berjaya," katanya dalam satu video kepada media pada Isnin.

Hamidin ketika ini berada di Kigali, Rwanda bagi menyertai Kongres FIFA ke-73.

Pada Ahad, Hannah mengumumkan pelantikan Hamidin sebagai CDM ke Sukan Olimpik Paris dan akan turut menganggotai pasukan projek 'Road to Gold'.

Turut dilantik menganggotai pasukan projek itu ialah Timbalan CDM, Datuk Nicol Ann David yang merupakan bekas ratu skuasy negara.