Dua rentung, Ford Ranger rempuh lori kontena

Dua mayat rentung ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda yang terbakar selepas merempuh sebuah lori kontena di KM 108.8 Lebuhraya Pantai Timur pada awal pagi Ahad. - Foto ihsan bomba
Dua mayat rentung ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda yang terbakar selepas merempuh sebuah lori kontena di KM 108.8 Lebuhraya Pantai Timur pada awal pagi Ahad. - Foto ihsan bomba
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki rentung dalam kenderaan pacuan empat roda selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah lori kontena di Kilometer (KM) 108.7 Lebuhraya Pantai Timur di sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang kenderaan berusia 24 tahun itu gagal diselamatkan akibat tersepit menyebabkan kedua-duanya rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kira-kira jam 5.22 pagi mengenai kejadian tersebut dan siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku semasa pacuan empat roda dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan telah merempuh bahagian belakang lori kontena dipandu lelaki berumur 50 tahun.

"Pemandu kenderaan itu yang hilang kawalan melanggar belakang lori kontena itu tersangkut di bahagian belakang lalu terbakar," kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, pemandu lori itu berhenti di lorong kecemasan dan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab telah memadamkan api dan mengeluarkan dua mangsa tersebut.

"Tiada pengenalan mangsa ditemui dan waris telah mengesahkan identiti mangsa meninggal dunia yang merupakan dua lelaki berusia 24 tahun.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mendapatkan maklumat terperinci dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi talian 09-2716086 boleh dihubungi 24 atau pegawai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 018-9724346 bagi membantu siasatan," jelas beliau.

Tambah Mohd Azhar, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.24 pagi.

Menurutnya, tujuh anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera dan tangki air bantuan daripada BBP Bukit Angin dikerahkan ke tempat kejadian.

Pacuan empat roda terbakar selepas merempuh sebuah lori kontena di KM 108.8 Lebuhraya Pantai Timur pada awal pagi Ahad. - Foto ihsan bomba
Pacuan empat roda terbakar selepas merempuh sebuah lori kontena di KM 108.8 Lebuhraya Pantai Timur pada awal pagi Ahad. - Foto ihsan bomba

"Sebaik tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah Ford Ranger dan lori kontena.

"Terdapat dua mangsa tersepit dan terbakar dalam pacuan empat roda tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, pasukan bomba membuat operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan mendapat bantuan bekalan tangki air BBP Bukit Angin.

"Setelah kebakaran dipadam sepenuhnya, operasi mengeluarkan mayat mangsa dijalankan menggunakan peralatan menyelamat.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.