Anwar luang masa ziarah rakan lama sakit

Anwar (kiri) meluangkan masa menziarahi Ahmad Fawzi Shafii, 75, yang merupakan rakan sekolahnya semasa menuntut di MCKK di Desa Seri Ampang, Ipoh pada Sabtu. - Foto: Bernama
Anwar (kiri) meluangkan masa menziarahi Ahmad Fawzi Shafii, 75, yang merupakan rakan sekolahnya semasa menuntut di MCKK di Desa Seri Ampang, Ipoh pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A
IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa menziarahi rakan sekolahnya semasa menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang terlantar sakit di Desa Seri Ampang di sini pada Sabtu.

Anwar tiba di kediaman Ahmad Fawzi Shafii, 75, yang didiagnosis sebagai penghidap 'Chronic Schizophrenia' dan kini terlantar di rumah sejak dua bulan lepas itu kira-kira jam 2 petang.

Ahmad Fawzi yang juga pernah menjadi teman sebilik Anwar ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) kelihatan gembira dengan kehadiran Perdana Menteri untuk menziarahinya dengan membawa buah tangan.

Perdana Menteri sempat bergurau senda dan bertanyakan keadaan kesihatan Ahmad Fawzi selain menceritakan kembali kenangan lama bersama dan bergambar bersama rakan lamanya itu serta keluarga.

Sementara itu, adiknya Jama'iyah Shafii, 62, memberitahu Ahmad Fawzi amat teruja sehingga menitiskan air mata ketika diberitahu bahawa rakan lamanya sudah menjadi Perdana Menteri dan akan menemuinya baru-baru ini.



"Ingatannya tidak kuat tetapi masih ingat kawan-kawan lama termasuklah Anwar Ibrahim malah menangis kerana terharu apabila Alumni MCKK memaklumkan bahawa beliau (Anwar) akan menziarahinya," katanya.



Ahmad Fawzi yang belum berkahwin pernah berkhidmat di sebuah bank sebelum menghidap sakit berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu dan dijaga oleh Jama'iyah.

Perdana Menteri meluangkan masa bersama rakan lamanya itu kira-kira 20 minit sebelum bertolak ke Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Tambun. - Bernama