Banteras penipuan pelaburan hingga akar umbi

Hishamuddin (empat dari kiri) ketika sidang akhbar di perkarangan IPD Sentul pada Sabtu.
Hishamuddin (empat dari kiri) ketika sidang akhbar di perkarangan IPD Sentul pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket penipuan pelaburan perlu dibanteras sehingga ke akar umbi bagi mengelakkan lebih ramai lagi rakyat menjadi mangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes berkaitan penipuan pelaburan bukanlah isu yang baharu, namun ia dijalankan sejak sekian lama.

"Sindiket bijak memanipulasikan mangsa dengan meyakinkan mangsa untuk menyertai skim-skim pelaburan yang ditawarkan.

"Bukan itu sahaja, malahan kadar dividen yang ditawarkan cukup lumayan sehingga mengakibatkan mangsa terpedaya," katanya ketika sidang akhbar di pekarangan IPD Sentul di sini pada Sabtu.

Menurut Hishamuddin, satu mekanisme baharu perlu diwujudkan dengan memperkenalkan akta baharu khusus untuk menangani masalah sindiket penipuan pelaburan ini atau apa juga bentuk sindiket berkaitan.

"Kita lihat undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi kesalahan tertentu dan undang-undang yang hampir sama khusus untuk sindiket penipuan pelaburan ini juga harus ada.

"Undang-undang yang sedia ada baik, cuma harapan saya ia perlu kepada satu undang-undang khusus bagi memastikan hukuman berat dikenakan kepada scammer ini," katanya.

Sementara itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan perlu melibatkan semua agensi penguatkuasa yang berkaitan.

"Siasatan kes penipuan pelaburan seharusnya tidak melibatkan polis sahaja, tapi harus dilibatkan semua agensi berkaitan.

"Kita tidak mahu dengan kelompongan yang ada ini, akan mengakibatkan scammer berani mengambil kesempatan sekaligus mengakibatkan lebih ramai lagi rakyat menjadi mangsa," katanya.