Polis akan panggil penganjur himpunan solidariti Muhyiddin

Azmi (dua dari kanan) bersama Vincent Tiew (tiga dari kanan) dan Vincent Choo (dua dari kiri) semasa Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti: Town Hall Discussion sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Bukit Jalil pada Sabtu.
Azmi (dua dari kanan) bersama Vincent Tiew (tiga dari kanan) dan Vincent Choo (dua dari kiri) semasa Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti: Town Hall Discussion sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Bukit Jalil pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil beberapa pihak atau individu terlibat berhubung himpunan solidariti terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setelah menerima laporan berhubung perhimpunan di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihaknya.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti individu atau pihak penganjur perhimpunan yang terlibat, seterusnya dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.

"Siasatan berhubung penganjuran perhimpunan solidariti di hadapan bangunan SPRM di Putrajaya sedang dijalankan.

"Ya pastinya akan ada pihak atau individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti: Town Hall Discussion sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023.

Bertajuk 'Keselamatan Jalan Raya: Isu Kesesakan Lalu Lintas @KL, majlis itu diadakan di KL Wellness City Gallery di Bukit Jalil, dekat sini.

Pengarah KL Wellness City, Datuk Seri Dr Vincent Tiew dan Pengarah Urusan Urban Ground, Datuk Vincent Choo.

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan kes 13 naskhah al-Quran dibuang di dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, Azmi berkata, proses siasatan masih dijalankan.

Beliau menambah, masih tiada suspek tertentu berhubung kes tersebut akan ditangkap dalam masa terdekat.

Berhubung kes pegawai kanan polis yang menumbuk isteri, beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya.

Jelas beliau, pejabat Timbalan Pendakwaraya akan mengambil sedikit masa untuk meneliti kertas siasatan diberikan.

"Polis masih belum mendapat maklum balas daripada Timbalan Pendakwaraya berhubung kes ini," katanya.