Ribut musim sejuk, California diisytihar darurat

Salji dan hujan lebat serta banjir melanda sebahagian besar California. - Foto Reuters.
Salji dan hujan lebat serta banjir melanda sebahagian besar California. - Foto Reuters.
A
A
A

LOS ANGELES - Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat meluluskan perintah darurat di California susulan ribut musim sejuk yang melanda negeri ini.

Darurat itu akan memberi kuasa kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS untuk menyelaraskan semua usaha bantuan bencana yang bertujuan untuk meringankan beban dan penderitaan penduduk setempat, menurut kenyataan Rumah Putih, lapor Xinhua.

Pada Jumaat salji dan hujan lebat serta banjir melanda sebahagian besar California.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran bahawa ribut musim sejuk turut mencetuskan salji lebat terutama di kawasan tinggi di utara dan tengah California serta hujan dan ancaman banjir termasuk di barat Nevada.

Gabenor California Gavin Newsom pada Khamis meminta darurat diisytiharkan untuk membolehkan bantuan persekutuan diagihkan kepada usaha tindak balas negeri dan tempatan untuk menghadapi ribut yang diramal berterusan hingga pertengahan Mac.

Newsom turut mengisytiharkan darurat di 21 daripada 58 daerah di California. Pada awal bulan darurat turut diisytiharkan di 13 daerah.

"Dalam keadaan yang berbahaya dan mencabar ini, adalah penting bagi penduduk California untuk terus berwaspada dan mematuhi semua panduan daripada pihak berkuasa," kata gabenor itu.

Berjuta-juta penduduk diletakkan di bawah pengawasan banjir dan ramai penduduk di komuniti pergunungan California Selatan masih terperangkap akibat salji tebal.

Salji sedalam lebih tiga meter menyekat laluan ke kawasan pergunungan di Kaunti San Bernardino, menyebabkan penduduk tempatan yang terkandas terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik dan bekalan makanan, ubat-ubatan serta bahan api semakin berkurangan, lapor media tempatan.

Menurut Pejabat Koroner Daerah San Bernardino, sebanyak 13 kematian di kawasan pergunungan direkodkan dari 26 Feb hingga 8 Mac. - Bernama.