'KWSP hak ahli bukan kerajaan' - Gerakan

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah hak ahli KWSP dan bukannya hak kerajaan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar wang simpanan KWSP digunakan sebagai cagaran jika membuat pinjaman bank adalah tidak bijak.

"Jika ahli KWSP menggunakan wang simpanan mereka untuk membayar pinjaman bank, ahli KWSP juga perlu membayar kadar faedah ditetapkan bank.

"Ini boleh diumpamakan sama seperti membuat pinjaman bersama ceti haram, kenapa jadikan wang simpanan KWSP sebagai cagaran? Itu hak rakyat bukan duit kerajaan atau bank.

"Pelaksanaan ini akan lagi membebankan rakyat kerana terpaksa bayar bunga atau kadar faedah, ini bukan membantu tapi menyusahkan dan menambah hutang rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dominic berkata, daripada menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank, KWSP boleh melancarkan skim pinjaman khas untuk ahli KWSP bagi menyelesaikan masalah kewangan.

"KWSP juga mempunyai inisiatif untuk memberi pinjaman kepada pencarum KWSP dan mengenakan kadar faedah yang rendah kepada mereka.

"Dengan cara ini, wang simpanan pencarum KWSP tidak akan terjejas kerana pinjaman perlu dibayar balik dan KWSP boleh memanfaatkan faedah yang diperoleh daripada pencarum KWSP melalui dividen tahunan," ujarnya.