Pas Selangor nyata solidariti terhadap Muhyiddin

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk mengekang suara oposisi dan menjejaskan reputasi PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas Selangor mendukung prinsip kedaulatan undang-undang negara dan yakin bahawa pihak berwajib berhak menyiasat mengikut undang-undang negara.

Bagaimanapun beliau berkata, kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan suci hati dan hanya dalam kes tulen (collateral purposes) bukannya berpilih-pilih atas agenda dan kepentingan politik.

"Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif "hoi ya hoi di sebelah sana" yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Pas Selangor menyatakan solidariti ke atas Muhyiddin dan komited mendukung budaya politik matang, sejahtera dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama.