Pemandu Myvi maut nahas libatkan lori balak

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan tersebut di Jalan Temerloh-Karak pada awal pagi Jumaat.
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan tersebut di Jalan Temerloh-Karak pada awal pagi Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut akibat tersepit selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori balak di Jalan Temerloh-Karak pada Jumaat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, seorang lagi lelaki iaitu penumpang kereta tersebut mengalami kecederaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 pagi mengenai kejadian tersebut.

"Seramai lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Sampai di lokasi mendapati terdapat kemalangan melibatkan dua kenderaan dan terdapat dua lelaki dewasa iaitu seorang mengalami kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan.

"Seorang lagi lelaki pula tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi dan pasukan memulakan operasi dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, operasi mengeluarkan mangsa itu mengambil masa kira-kira 30 minit.

"Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelas Zulfadli.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan lori jenis Mercedes Benz yang membawa muatan kayu dipandu lelaki berusia 69 tahun bersama penumpang wanita berusia 60 tahun dan kereta dipandu mangsa.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta yang memandu di laluan bertentangan melanggar bahagian tengah sisi kanan lori tersebut.

"Hasil rakaman kamera papan pemuka juga menunjukkan kereta itu telah masuk ke laluan lori terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

"Pihak polis juga meminta mana-mana individu atau saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," kata beliau.