Buli jalanan: Polis ambil keterangan saksi, dua pemandu

Tangkap layar rakaman video tular dalam media sosial TikTok.
Tangkap layar rakaman video tular dalam media sosial TikTok.
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan mengambil keterangan kedua-dua pemandu kenderaan dan saksi dalam kejadian buli jalanan di Lebuh Raya Seremban Port Dickson (SPDH) seperti video tular dalam media sosial TikTok.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pada jam 10.30 pagi Khamis, pihaknya telah mengesan satu rakaman video tular berdurasi 16 saat di TikTok memaparkan kejadian buli jalanan yang telah disunting melibatkan dua buah kenderaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam 2 petang pada 30 Disember 2022 di Lebuh Raya SPDH menghala ke arah Port Dickson melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu pacuan empat roda dan seorang pemandu kereta, lelaki berusia 52 tahun.

"Menerusi siasatan yang dijalankan, kejadian tular tersebut berpunca daripada pertelingkahan kedua-dua pemandu di kawasan rehat dan rawat (R&R) Mambau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Nanda, dalam kejadian tersebut beberapa komponen batang paip telah terjatuh dari pacuan empat roda itu sehingga hampir mengena kereta lelaki berkenaan ketika melalui lebuh raya terbabit.

"Setelah berlaku pertelingkahan, kedua-duanya beredar dari tempat kejadian.

"Pemandu pacuan empat roda tersebut telah mengekori kereta berkenaan dan memberhentikan kenderaan di lorong kanan di simpang empat lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson.

"Dia (pemandu pacuan empat roda) kemudiannya bertindak mengambil gambar pemandu kereta terlibat kerana dirinya telah dirakam oleh pemandu kereta itu ketika di R&R Mambau.

"Kedua-dua pemandu telah terputus haluan ke arah destinasi masing-masing dan tiada kesinambungan kejadian yang tidak diingini yang berlaku ke atas kedua-dua pihak selepas itu," katanya.

Ujar Nanda, kedua-dua pemandu dan saksi kejadian akan diambil keterangan dan kes disiasat bawah Rule 92A LN170/59.