STAR, KPM perinci pembangunan sekolah daif

Fadhlina ketika sesi penggulungan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Fadhlina ketika sesi penggulungan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan cadangan pemerkasaan pelaksanaan projek pembangunan bangunan sekolah daif.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara perkara diteliti termasuk keperluan penubuhan satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian untuk memantau secara khusus pelaksanaan projek pembangunan sekolah yang mempunyai bangunan daif.

"(Selain itu) kita akan menambah baik proses kerja di pelbagai peringkat seperti prapembinaan dan semasa pembinaan selain melaksanakan libat urus dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Fadhlina berkata, dalam hubungan itu, KPM bersama STAR akan melaksanakan beberapa projek rintis yang diharap dapat dijadikan model bagi menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan sekolah yang mempunyai bangunan daif terutama di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM akan memperluas konsep Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) iaitu sekolah yang memberi pendidikan mulai tahun satu hingga tingkatan tiga kepada K11, pendidikan yang bermula dari tahun satu hingga tingkatan lima di sekolah yang sama.

Beliau berkata, ia dilakukan setelah melihat konsep K9 yang berjaya menangani masalah keciciran pelajar di kawasan luar bandar terutama dalam kalangan murid Orang Asli dan peribumi yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah.

Ia disebabkan atas faktor lokasi ke sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan sosioekonomi keluarga.

Menurut Fadhlina, sebagai permulaan, KPM akan melaksanakan rintis K11 di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Betau di Kuala Lipis, Pahang, khusus untuk murid Orang Asli dan SK Long Bedian di Baram, Sarawak untuk murid peribumi Penan bermula sesi persekolahan 20 Mac ini.

Katanya sehingga kini terdapat sembilan sekolah K9 di seluruh negara. - Bernama