1,221 calon UPKK di Pahang peroleh 8A

Sebahagian pelajar cemerlang UPKK 2022 negeri Pahang yang memperoleh keputusan 8A bergambar bersama Dr Zulkifle (duduk, tengah) selepas Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Negeri Pahang di sebuah hotel di Kuantan pada Khamis.
Sebahagian pelajar cemerlang UPKK 2022 negeri Pahang yang memperoleh keputusan 8A bergambar bersama Dr Zulkifle (duduk, tengah) selepas Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Negeri Pahang di sebuah hotel di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1,221 murid atau 8.11 peratus daripada 15,053 calon Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2022 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang 8A.

Berdasarkan perincian keputusan yang diumumkan pada Khamis, seramai 1,350 murid memperoleh 7A, 1,339 murid (6A), 1,647 murid (5A), 2,398 murid (4A), 3,409 murid (3A), 1,624 murid (2A) dan 920 murid hanya memperoleh 1 A.

Analisis pencapaian agregat 8A pada UPKK tahun lalu menunjukkan penurunan berbanding keputusan ujian itu pada 2020/2021 yang mencatatkan 7,599 calon mendapat keputusan cemerlang 8A.

Gred Purata Negeri (GPN) bagi UPKK 2022 hanya 1.85, merosot berbanding keputusan dua tahun sebelumnya.

Daerah Raub dinobatkan sebagai daerah terbaik UPKK bagi negeri Pahang manakala sekolah terbaik, Kafa Permata Wawasan, Temerloh.

Mohd Firas Mohd Hafiz, 12 dari Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad, Balok muncul murid terbaik UPKK 2022 negeri Pahang (lelaki) manakala Nurfasihah Amalin Norhisham, 12, dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) R-Raudhah Islamiah Sungai Isap 1 di sini dianugerahkan pelajar terbaik kategori perempuan.

Keputusan diumumkan Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Zaidi Ismail pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK) Negeri Pahang Tahun 2022 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Majlis dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir, Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali dan timbalannya, Datuk Abdul Zaki Md Zain.