Kejohanan Cyclocross Malaysia ditunda Mei depan

Anas Yusof (kiri) dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Rabu.
Foto: MC BOYER
Anas Yusof (kiri) dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: MC BOYER
A
A
A

EDISI sulung Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Taman Rekreasi D R Seenivasagam di Ipoh, Perak pada Sabtu dan Ahad terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.

Pengerusi Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia, Datuk Anas Yusof Sulaiman berkata, kejohanan berbasikal berhalangan atau nama singkatannya CX itu ditunda pada 27 dan 28 Mei depan.

Menurutnya, antara faktor utama penundaan kejohanan anjuran kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu disebabkan sambutan Hari Landskap Negara turut diadakan di venue sama.

“Pertama sekali sebab penganjuran kejohanan cyclocross ini kita buat bersama dengan Hari Landskap Negara dan difahamkan ia dirasmikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga difahamkan akan hadir.

“Jadi (penundaan) atas sebab protokol keselamatan dan teknikal. Apabila PM dan TPM hadir, maka ada perubahan dari segi susunan seperti kedudukan trek dan tempat pelancaran kejohanan.

“Penganjuran di sebelah sungai dan area (kawasan) itu memang untuk kita. Namun, apabila ada pelancaran Hari Landskap Negara dan PM serta TPM hadir, maka kawasan itu dijadikan tempat letak kereta.

“Itu tak menjadi masalah, cuma apabila dibuat secara serentak, mungkin ada isu dari sudut penggunaan pembesar suara yang mana kita buat sukan di sini dan di sana pula pelancaran Hari Landskap Negara.

“Bagi menghormati dan sokongan kepada Hari Landskap Negara serta memahami keperluan protokol keselamatan, kita membuat keputusan menangguh kejohanan pada 27 dan 28 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan itu akan tetap berlangsung biarpun tarikhnya telah ditunda pada Mei depan.

“Selepas meneliti setiap perkara dengan mengambil kira bulan Ramadan yang bakal menjelma, selain sambutan Aidilfitri, jadi kita memutuskan untuk mengadakan kejohanan ini pada penghujung Mei.

“Apa yang penting kita akan teruskan kejohanan ini, bukan batalkan. Cuma tangguh pada satu tarikh ditetapkan dan ini juga tertakluk kepada kelulusan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, yuran akan dikembalikan kepada setiap peserta yang telah membuat pembayaran sebelum ini jika mereka mahu membatalkan penyertaan.

“Peserta yang telah mengesahkan penyertaan dan membuat bayaran, boleh berhubung dengan sekretariat kejohanan di talian 03-6734 5990 ataupun menyertai kejohanan pada Mei nanti,” ujarnya.

Sebelum ini, Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia selaku penganjur memaklumkan, kejohanan yang mendapat sokongan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai rakan pengangkutan rel rasmi itu mendapat sambutan menggalakkan.

Selepas Perak, Selangor dijadualkan mengambil alih sebagai venue kejohanan sebelum saingan antarabangsa diadakan di Bagan Datuk, Perak yang bakal disertai peserta luar negara dengan tarikh akan dimuktamadkan kelak

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada setiap perlumbaan dan peserta boleh mendaftar terus dengan melayari laman sesawang www.sports360.my atau www.bikeaway.com.my.

10 kategori terbabit ialah Lelaki Terbuka A (19 hingga 30 tahun); Lelaki Terbuka B (31-40); Lelaki Terbuka C (41-49); Lelaki Master (50 tahun ke atas) serta Lelaki Junior dan Wanita Junior (15-18).

Turut dipertandingkan ialah kategori Wanita Terbuka A (19-35); Wanita Terbuka B (36 tahun ke atas) selain XCO Terbuka Lelaki dan Wanita (19 tahun ke atas).