Lafaz ikrar Rukun Negara dalam semua program kerajaan - Aaron

Aaron - Foto Bernama
Aaron - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan supaya semua program rasmi kerajaan yang dianjurkan setiap kementerian dimulakan dengan lafaz ikrar Rukun Negara sebagai usaha untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Rukun Negara juga perlu dilafazkan pada setiap kali pembukaan penggal serta permulaan sesi mesyuarat Parlimen.

"Di peringkat sekolah, pelajar-pelajar bukan sahaja melafazkan ikrar lima prinsip Rukun Negara semasa perhimpunan tetapi perlu juga membaca mukadimah Rukun Negara sebagai perkara yang dicita-citakan.

"Dengan apa yang dilakukan ini, diharap akan menjadi contoh dan teladan serta kesedaran kepada seluruh rakyat betapa pentingnya perpaduan dalam membangunkan Malaysia Madani," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Aaron berkata, ini kerana Rukun Negara ialah asas kepada penyatupaduan rakyat Malaysia malah amalan melafazkan rukun itu telah dilaksanakan KPN sejak 2020.

Sementara itu, beliau turut bersetuju dengan cadangan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangkit mencelah supaya KPN melaksanakan kelas bimbingan bagi ahli Parlimen untuk tidak mengambil enteng berkaitan isu perpaduan sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Rakyat.

"Kalau ada arahan daripada pihak Speaker, apa salahnya kita (KPN) mengadakan syarahan atau taklimat (kepada ahli Parlimen) berkenaan isu perpaduan dan cara percakapan kita di Dewan yang mulia ini," kata Aaron. - Bernama