Pelawat berseluar pendek dihalang masuk HTAA hanya salah faham

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita berseluar pendek dihalang masuk ke HTAA oleh pengawal bertugas pada waktu melawat yang dipercayai berlaku pada Selasa.
Tangkap layar video memaparkan seorang wanita berseluar pendek dihalang masuk ke HTAA oleh pengawal bertugas pada waktu melawat yang dipercayai berlaku pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Isu pelawat berseluar pendek dihalang masuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada waktu melawat yang videonya tular di laman sosial berlaku disebabkan salah faham antara pengawal keselamatan dengan pelawat terlibat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, selama ini tidak timbul masalah bagi pelawat berpakaian sedemikian untuk masuk pada waktu melawat kecuali bagi mereka yang berpakaian mencolok mata.

Menurutnya, berkemungkinan pengawal keselamatan bertugas salah faham dengan definisi berpakaian untuk masuk ke hospital.

"Pihak HTAA telah mengambil langkah sewajarnya dengan memberi kefahaman kepada pengawal keselamatan dan mereka diminta untuk tidak membuat sebarang penguatkuasaan tanpa mendapat arahan rasmi daripada pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Nor Azimi berkata, selepas kejadian yang dipercayai berlaku pada Selasa itu, tiada lagi masalah berhubung etika berpakaian berlaku di hospital itu.