Insken sumbang RM21 juta ekonomi negara pada 2022

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) melakar sejarah baharu apabila berjaya menyumbang RM21 juta kepada ekonomi negara pada tahun 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan itu berjaya dihasilkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan anjuran Insken.

Katanya, antara program tersebut ialah Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC), Online Onboarding Coaching Programme (E-Board), Bimbingan Pembangunan Produk dan Bimbingan Keuntungan Menu.

"Laporan pencapaian tahun 2022 menunjukkan Insken berjaya melatih 21,385 usahawan melalui 502 program latihan dan bimbingan, ia melebihi sasaran awal iaitu 13,390 usahawan dan 422 program.

"Pelbagai kisah kejayaan telah dibuktikan bukan sahaja melalui laporan pencapaian tahunan, malah turut diakui oleh usahawan-usahawan yang menyertai program anjuran Insken. Ramai usahawan berjaya memajukan perniagaan sekali gus dapat membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin memberitahu, tahun 2023 pihaknya akan terus melaksanakan kesemua program latihan dan bimbingan yang sedia ada.

Bagaimanapun ujarnya, terdapat penambahan dua program baharu iaitu Program Urus Kewangan Untuk Perniagaan Kecil dan Kursus Asas Pembangunan Produk & Servis (KAPPS).

"Selain itu, pihak kami juga mewujudkan industri baharu bagi Program IBBC iaitu Pet Care, Grocery Store, Printing & Related Services dan Kraftangan.

"Tahun ini Insken menyasarkan untuk melatih 7,940 usahawan melalui 225 program latihan dan bimbingan," jelasnya.

Beliau turut mengalu-alukan kolaborasi di antara kementerian dan agensi dalam usaha membantu memantapkan ekosistem keusahawanan negara.

"Sehingga hari ini, Insken masih komited menghulurkan bantuan menerusi program latihan, bimbingan serta konsultasi percuma kepada semua kategori usahawan di Malaysia," jelasnya.