Mahkamah Pakistan gantung waran tangkap terhadap Imran Khan

Polis cuba menahan Khan tetapi menerima tentangan hebat daripada penyokongnya di bandar timur laut Lahore pada Ahad. - Foto EPA
Polis cuba menahan Khan tetapi menerima tentangan hebat daripada penyokongnya di bandar timur laut Lahore pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

KARACHI - Mahkamah tinggi Pakistan pada Selasa menggantung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri, Imran Khan selepas beliau gagal hadir perbicaraan kes berkaitan pembelian dan penjualan hadiah yang diberikan kenamaan asing semasa beliau menjadi perdana menteri.

Ketua Hakim Negara, Aamer Farooq mengarahkan polis untuk tidak menangkap Khan sehingga 13 Mac, lapor Agensi Anadolu.

Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu hadir ke mahkamah pada tarikh yang sama (13 Mac) bagi perbicaraan kes itu.

Mahkamah Islamabad minggu lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin itu selepas beliau sebelum ini gagal menghadiri perbicaraan.

Polis pada Ahad cuba menahan Khan tetapi menerima tentangan hebat daripada penyokongnya di bandar timur laut Lahore.

Khan, 70, disingkirkan selepas Parlimen meluluskan usul undi tidak percaya terhadapnya pada April tahun lalu.

Beliau kini disabitkan dengan pelbagai kes jenayah termasuk keganasan, cubaan membunuh dan pengubahan wang haram.

Khan sebelum ini mendakwa wujud konspirasi yang disokong negara asing bagi menjatuhkan pemerintahannya.

Khan terselamat daripada cubaan bunuh ketika mengetuai perarakan di daerah Wazirabad di wilayah Punjab pada November.

Sejak itu, beliau menetap di kediamannya di Lahore dan gagal hadir perbicaraan mahkamah atas alasan kesihatan dan keselamatan. - Bernama