Harga runcit minyak masak kemasan botol kekal

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol kekal bagi tempoh 8 Mac hingga 7 April ini, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN berkata, harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg pada RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.4) 2023.

"Secara umumnya, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah untuk Februari berbanding bulan sebelumnya.

"Walau bagaimanapun, berdasarkan rundingan diadakan sebelum ini, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak kelapa sawit tulen bagi tempoh itu,” kata KPDN dalam satu kenyataan hari ini.

Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sabit kesalahan bagi individu, boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda hingga RM500,000, kata KPDN. - Bernama