KL tertinggi hadapi masalah kemurungan, kebimbangan melampau

Dr Zaliha ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian di Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Zaliha ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian di Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi bagi penduduk yang menghadapi masalah kemurungan dan kebimbangan melampau.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia susulan saringan yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2022.

Tambahnya, saringan tersebut telah dilaksanakan kepada 336,900 individu.

“Dan dalam keputusan itu, kita dapati negeri yang tertinggi dengan masalah kemurungan dan kebimbangan melampau ini adalah Wilayah Persekutuan.

“Jadi, orang wilayah ini banyak masalah (kemurungan dan kebimbangan melampau),” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin mengetahui negeri yang mencatatkan jumlah paling tinggi menghadapi masalah mental ini.

Tambah Zaliha, antara sebab penduduk di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi bagi masalah itu adalah kerana kos sara hidup tinggi, golongan miskin bandar dan B40 yang ramai.

Menurutnya, masalah perhubungan terhadap ibu bapa, rakan sebaya dan pasangan juga merupakan faktor lain.

“Masalah perhubungan ini contohnya tekanan daripada ibu bapa yang mahu anaknya jadi menteri, jadi tekanan kepada anak-anak,” jelasnya.

Beliau berkata, KKM telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi permasalahan kesihatan mental yang dialami oleh masyarakat khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak remaja, golongan muda dan warga emas.

Jelasnya, sebanyak 1,161 Klinik Kesihatan, 58 buah hospital, 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), dan empat institusi mental telah disediakan meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

Katanya, KKM juga telah mengadakan kolaborasi dengan kementerian lain iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“KKM juga melaksanakan Kempen Let’s Talk Minda Sihat yang merupakan satu ‘smart partnership’ melibatkan agensi kerajaan serta pihak badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosikan penjagaan kesihatan mental,” ujarnya.

Jelasnya, KKM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Demensia bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan demensia.

“Komponen kesihatan mental juga terkandung dalam Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 yang sedang dikemas kini,” katanya.